Saturday, October 30, 2010

Kehidupan


BERUSAHA UNTUK MEMILIH KEJAYAAN
Imam Abu Hassan al-Asyaari memperkenalkan teori al-Kasbu (usaha) di dalam membincangkan kudrat Allah Taala dan perbuatan manusia, iaitu pandangannya adalah pertengahan di antara golongan Jabariyyah dengan Muktazillah. Golongan Muktazillah berpandangan bahawa manusia yang menciptakan perbuatannya sendiri. Golongan Jabariyyah pula berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatan apatah lagi berusaha untuk melakukan sesuatu. Manakala Imam Abu Hassan al-Asyaari berpandangan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatannya akan tetapi berkuasa untuk berusaha.
Beliau menafsirkan al-Kasbu dengan maksud ia adalah kuasa hamba untuk melakukan perbuatan yang mana perbuatan tersebut diciptakan oleh Allah Taala. Bagi hamba (manusia), al-Kasbu tidak memberikan kesan yang nyata di dalam perbuatannya. Ini bermakna segala perbuatan yang diusahakan adalah sesuatu yang dikuasai oleh kuasa bersifat baharu yang diciptakan oleh Allah Taala kepada manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuatkan itu.
(Surah al-Soffat: Ayat 96).
Daripada teori al-Kasbu ini, dapatlah kita fahami bahawa setiap manusia diberikan pilihan samada untuk memilih kebaikkan ataupun memilih keburukkan. Jika kita memilih dan berusaha ke arah kebaikkan maka kebaikkan yang kita perolehi. Namun jika kita memilih dan berusaha ke arah keburukkan maka keburukkan yang kita perolehi. Ini bertepatan dengan peribahasa Melayu: Jika tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: Ayat 11).
DUGAAN KEGAGALAN SETELAH BERUSAHA
Di dalam menjalani liku-liku kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan daripada Allah Taala. Ujian yang datang tidak kira masa dan siapa sudah tentulah tersembunyi segala hikmah dan akan menjadikan diri kita lebih kuat.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(Surah al-Anbiya: Ayat 35).
Setelah kita penat berusaha bersungguh-sungguh untuk memilih kebaikkan dan kejayaan, sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya, kita disarankan untuk berdoa memohon diperkenan daripadaNya. Ini kerana Allah Taala sentiasa mendengar segala permohonan dan rintihan hamba-hambaNya.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqarah: Ayat 186).
Walaubagaimanapun, kadang-kala apa yang kita doa dan pohon tidak semestinya diperolehi dan dimakbulkan pada ketika itu. Jika berlaku perkara ini, kita perlulah berbaik kepada konsep mengimani Qadha dan Qadar iaitu:
- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini samada ia sesuatu kebaikkan ataupun keburukkan.
- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini walaupun kita diberikan pilihan untuk berusaha bersungguh-sungguh.
- Menyedarkan bahawa hakikat manusia itu lemah dan perlu kepada Allah Taala.
- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
Selain itu, dugaan juga datang bersama tujuan dan hikmah yang tersembunyi. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara itu berlaku. Hikmah itu pula kadang-kala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.
Firman Allah Taala bermaksud:
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
(Surah al-Mulk: Ayat 2).
BERSABAR DI ATAS SEGALA DUGAAN
Dengan dugaan kegagalan, kita belajar erti kesabaran. Ada ulama mentakrifkan sabar ialah menjauhkan diri daripada mengingkari, tenang ketika menelan kepahitan bala serta menampakkan ketidakperluan kepada makhluk ketika ditimpa kefakiran di dalam menempuh ranjau kehidupan. Malah Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat mentakrifkan sabar ialah tidak mengadu tentang penderitaan bala kepada selain Allah Taala.
Kesabaran di atas musibah dan kegagalan yang menimpa ialah dengan menyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah medan ujian dan cubaan. Allah Taala akan menguji iman hambaNya dengan pelbagai jenis musibah dan dugaan. Dia juga menduga hamba-hambaNya yang beriman dengan pelbagai cabaran agar Dia membezakan di antara orang yang jahat dengan yang baik dan yang beriman dengan yang munafiq.
Firman Allah Taala bermaksud:
Alif Lam Mim. Apakah patut manusia menyangka bahawa mereka (hanya) dibiarkan (sahaja) berkata: Kami telah beriman sedangkan mareka belum diuji.